Malaysia-China Kukuhkan Kepercayaan Lima Dekad Hubungan

TIANJIN: Hubungan Malaysia–China yang bermula pada 1974 kini berkembang sebagai satu kerjasama erat berasaskan kepercayaan dan saling menghormati, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada syarahan awam bertajuk “Sovereign Interdependence: Building a Shared Future in Asia” di Universiti Tianjin hari ini, Anwar menyifatkan keputusan Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara bukan sosialis yang mengiktiraf China sebagai langkah berani yang kini membuahkan hasil besar selepas lima dekad.

“Setengah abad kemudian, keyakinan itu telah berkembang menjadi satu tabiat kepercayaan – kadang kala senyap, tetapi sentiasa nyata,” katanya.

Beliau turut menyebut tiga pertemuannya dengan Presiden Xi Jinping, termasuk lawatan negara ke Kuala Lumpur pada April lalu, yang memperkukuh persefahaman bahawa kedua-dua negara, meskipun berbeza saiz, boleh berbincang dengan jujur dan bertindak secara konsisten.

Anwar menekankan bahawa asas kepercayaan itu telah diterjemahkan melalui kerjasama nyata dalam pelbagai bidang, termasuk pembinaan infrastruktur berkualiti tinggi, tenaga hijau, ekonomi digital serta kemudahan visa bebas antara rakyat kedua-dua negara.

“Apa yang memberikan hubungan ini kekuatannya ialah keyakinan bahawa walaupun dalam masa yang tidak menentu, kedua-dua negara tetap berpegang teguh antara satu sama lain,” ujarnya.

Menurutnya, kestabilan hubungan dua hala itu penting bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global serta mencorak masa depan rantau Asia yang lebih adil dan makmur.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat