Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui hubungan Malaysia dan negara China kini semakin erat, melebihi hubungan perdagangan dan pelaburan selama ini.
Beliau berkata acara sambutan Tahun Baru Cina itu diadakan buat kali pertama di luar China dan Malaysia dipilih untuk memimpin sambutan tersebut.
“Menghargai budaya lain mungkin asing bagi sesetengah daripada kita.
“Tetapi, fenomena ini boleh menjadi bermakna, bukan sahaja untuk kelangsungan hidup kita, malah juga menunjukkan kesediaan kita untuk menyambut rakan-rakan dari luar negara.
“Ia bertujuan memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai tempat di sini dan berasa bangga dengan negara ini,” ujarnya ketika berucap semasa Acara Pelancaran Global Tahun Baru Cina di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam tadi.
Beliau menegaskan bahawa visi untuk menghormati kepelbagaian budaya dan memahami maksud sebenar tamadun adalah sama penting.
Selaras dengan kenyataan tersebut, beliau telah memetik pepatah dari Dinasti Song, yang memberi gambaran indah inti pati hubungan dua hala dengan China.
“Kita memang telah memilih untuk melangkaui segala ketidakpastian untuk merangkul masa depan yang penuh dengan perkongsian dan matlamat bersama,” katanya.
Dalam pelancaran tersebut, turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, rakan sejawat dari China Sun Yeli, Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing, dan Timbalan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, China Gao Zheng.
Baca juga: