Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Malaysia merupakan antara negara majmuk terbaik dunia yang berjaya mengekalkan kehidupan aman dan harmoni, meskipun dihuni lebih 34 juta penduduk daripada pelbagai etnik, kaum dan agama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapannya pada Ahad, beliau mengingatkan rakyat agar tidak hanya menumpukan kepada konflik atau permasalahan semata-mata, sebaliknya mensyukuri nikmat keamanan dan kestabilan yang telah lama dinikmati.
Menurut Anwar, amat jarang ditemui negara lain yang memiliki kepelbagaian kaum seperti Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan serta masyarakat Orang Asli, namun tetap mampu hidup saling menghormati antara satu sama lain.
“Mana ada negara yang ada Cina, India, Melayu, Iban, Kadazan tetapi boleh hidup aman begini.
“Tidak banyak negara seperti itu,” katanya ketika menghadiri Sambutan Tahun Baru Cina bersama penduduk di Tambun, Perak.
Sebagai seorang Muslim, Anwar menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas keamanan yang dinikmati Malaysia.
Malah, beliau turut berkongsi pengalaman menghadiri pelbagai sambutan perayaan kaum sebagai simbol perpaduan nasional.
Katanya, beliau sendiri menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di kampung masyarakat Cina, manakala pemimpin masyarakat Cina pula hadir ke kampung Melayu ketika Hari Raya Aidilfitri.
Pendekatan meraikan kepelbagaian itu, jelas Anwar, turut ditonjolkan kepada pemimpin dunia yang melawat Malaysia, termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Presiden China Xi Jinping serta Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Setiap kali menerima kunjungan pemimpin luar, Malaysia mempersembahkan tarian kebudayaan yang menggabungkan Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan kaum lain dalam satu pentas.
“Mereka hairan kerana di negara mereka, persembahan kebudayaan dibuat secara berasingan mengikut kaum.
“Tetapi di Malaysia, kita gabungkan semua dalam satu pasukan,” katanya.
Anwar berkata, keunikan variasi budaya ini bukan sahaja diraikan, malah dijadikan asas kekuatan dan perpaduan nasional.








