PETALING JAYA: Malaysia kini di peringkat akhir dalam usaha mencipta sejarah untuk membida jawatan Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2025–2029.
Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berada di Nairobi, Kenya bagi mengadakan beberapa siri pertemuan dua hala di Ibu Pejabat UN-Habitat, termasuk pertemuan penting dengan wakil dari Mexico.
“Sejurus tiba di Nairobi, Kenya, delegasi negara yg diketuai oleh Nga Kor Ming terus membuat persiapan pusingan terakhir dalam usaha untuk mengangkat martabat negara sebagai Presiden UN Habitat.
“Pelbagai strategi dan rancangan telah disusun atur sejak dua tahun dulu dan kini termasuk mesyuarat dua hala bersama penyandang jawatan tersebut dari Mexico, tuan rumah World Urban Forum 2026 Azerbaijan serta rakan strategik Republik of Iran,” kongsi Kor Ming dalam video di Facebooknya.
Kor Ming turut menyampaikan ucapan pada mesyuarat pelbagai hala berkaitan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu agenda pembangunan mampan dianjurkan bersama oleh Itali dan UN Habitat.
“Inilah misi kita untuk memastikan Malaysia diangkat martabat dikenali oleh dunia, disanjungi dan dihormati,” katanya.
Persidangan UN-Habitat ialah badan pembuat keputusan peringkat tertinggi mengenai pembandaran mampan dan penempatan manusia dalam sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ia bersidang setiap empat tahun untuk menetapkan isu dan keutamaan dasar untuk UN-Habitat.
Jawatan presiden dipegang secara bergilir dalam kalangan kumpulan serantau dalam sistem PBB. Presiden semasa adalah dari Amerika Latin dan Caribbean, diwakili oleh Mexico.
Presiden seterusnya akan datang dari rantau Asia-Pasifik dan akan berkhidmat selama empat tahun dari 2025 hingga 2029.