Malaysia Dapat Kelulusan Eksport Kelapa Segar ke Pasaran China

PUTRAJAYA: Malaysia kini secara rasmi menerima kelulusan untuk mengeksport buah kelapa segar ke pasaran China menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Republik Rakyat China.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kelulusan itu adalah hasil rundingan berterusan serta usaha gigih kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan perdagangan yang sedia terjalin.

Beliau berkata demikian selepas sesi pertukaran MoU membabitkan Protokol Keperluan Fitosanitari antara KPKM dan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) yang berlangsung semalam.

Menurut Mohamad, pemeteraian protokol tersebut penting bagi memastikan kelapa segar Malaysia kekal berdaya saing dan diterima di pasaran China.

Ia juga dilihat mampu mengukuhkan industri kelapa tempatan dengan menggalakkan amalan pertanian yang lebih baik dan sistematik dalam kalangan pengusaha.

“Langkah ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keterjaminan makanan dan meningkatkan hasil eksport pertanian negara,” katanya.

Kerajaan, katanya, akan terus memastikan hasil pertanian tempatan menembusi pasaran antarabangsa bagi menjana pendapatan lebih tinggi sekali gus memperkukuh ekonomi negara.

Anda Mungkin Berminat