Malaysia dapat undi tertinggi sebagai Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO 2025–2029

PETALING JAYA: Malaysia mencatat satu lagi kejayaan di peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai Ahli Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2025 hingga 2029.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kemenangan itu amat bermakna kerana Malaysia memperoleh undi tertinggi dalam kalangan negara yang bertanding, sekali gus membuktikan keyakinan dunia terhadap keupayaan negara dalam memacu agenda global pendidikan, sains dan kebudayaan.

“Kejayaan ini adalah pengiktirafan dunia terhadap kepimpinan dan sumbangan Malaysia dalam memperjuangkan kesejahteraan global yang inklusif serta mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Fadhlina turut menegaskan bahawa Malaysia akan memanfaatkan kedudukan itu untuk memastikan suara negara-negara membangun, khususnya di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik, terus didengari dan dihormati di peringkat global.

“Kita akan terus memperkukuh komitmen dalam membina masa hadapan yang lebih mampan demi generasi akan datang,” tambahnya.

Beliau turut merakam penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas sokongan padu serta kepada Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar Negeri dan Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO di Paris atas dedikasi mereka.

“Terima kasih atas kerja keras tanpa mengenal penat lelah semua pihak. Kejayaan ini adalah milik kita bersama,” ujar Fadhlina.

Keanggotaan Malaysia dalam Lembaga Eksekutif UNESCO bagi penggal 2025–2029 membuka peluang besar untuk memperkukuh peranan negara sebagai peneraju dasar pembangunan mampan di rantau ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat