PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di El Fasher dan seluruh wilayah Darfur, Sudan, yang kini menyaksikan penderitaan luar biasa rakyat awam akibat konflik bersenjata.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, beliau menyifatkan situasi di wilayah bergolak itu sebagai satu tragedi kemanusiaan yang tidak boleh dibiarkan berterusan.
“Laporan kekejaman termasuk pembunuhan, kebuluran dan pengusiran rakyat dalam skala besar amat menggemparkan.
“Dakwaan yang boleh disifatkan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan, malah genosid, adalah tidak boleh diterima,” katanya.
Sehubungan itu katanya, Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat agar segera menghentikan segala bentuk keganasan dan memastikan keselamatan serta perlindungan orang awam selaras dengan prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Anwar turut menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak berdiam diri, sebaliknya mengambil tindakan tegas dan bersepadu bagi menamatkan penderitaan rakyat Sudan.
“Masyarakat antarabangsa perlu bertindak tegas bagi menghentikan penderitaan, memulihkan akses bantuan kemanusiaan dan menyokong usaha mencapai keamanan serta kebertanggungjawaban,” katanya lagi.








