Malaysia Desak Israel Dipertanggungjawab Atas Kekejaman Di Gaza

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi menegaskan pendiriannya yang tegas terhadap isu kemanusiaan di Gaza, dengan menggesa komuniti antarabangsa agar tidak berdiam diri terhadap kekejaman berterusan yang dilakukan oleh Israel ke atas rakyat Palestin.

Seruan itu disampaikan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Mesyuarat Tiga Hala antara Malaysia, Switzerland dan Sekretariat ASEAN yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

“Adalah penting untuk Israel dipertanggungjawabkan atas kekejaman berterusan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa di Gaza serta terhadap negara lain di rantau tersebut,” tegas beliau.

Beliau turut berkata, kegagalan untuk mengambil tindakan tegas hanya akan melemahkan kredibiliti sistem antarabangsa dan menimbulkan persoalan serius terhadap keadilan global.

Jelas beliau, adalah tidak wajar untuk membiarkan kekejaman dan pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel terus berlaku tanpa sebarang tindakan tegas daripada komuniti global.

Dalam pada itu, Malaysia dan Switzerland turut menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang antarabangsa serta menyelesaikan konflik secara aman dan adil termasuk di Ukraine dan Gaza.

Mesyuarat itu turut menekankan keperluan memperkukuh kerjasama serantau dan global dalam usaha memperjuangkan keamanan, kestabilan dan pembangunan mampan sejagat.

Anda Mungkin Berminat