Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Kementerian Luar Negeri (KLN) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk segera mengambil tindakan bagi menamatkan konflik di Palestin.
Wisma Putra dalam satu kenyataan bekata, gesaan itu sejajar dengan resolusi PBB bertajuk ‘Support for the Mandate of the United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA)’.
“Malaysia mengalu-alukan dua resolusi yang diluluskan semasa Sesi Tergempar Khas Ke-10 Perhimpunan Agung PBB pada 11 Disember 2024 di New York.
“Resolusi ini mencerminkan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap peranan dan mandat UNRWA serta komitmen untuk menentang sebarang usaha melemahkan operasinya,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, resolusi bertajuk ‘Demand for Ceasefire in Gaza’ diiktiraf sebagai langkah penting untuk menghentikan keganasan dan memastikan akauntabiliti, demi mencapai keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Gaza.
“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk segera melaksanakan kedua-dua resolusi ini.
“Malaysia berpegang teguh dengan pendirian berprinsip dalam mendukung hak rakyat Palestin untuk membentuk sebuah negara merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” jelas kenyataan itu.