KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang usaha damai dalam konflik Asia Barat mesti menjurus kepada penamatan perang secara menyeluruh, bukan sekadar gencatan senjata sementara.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbualan dengan Presiden Masoud Pezeshkian bagi mendapatkan perkembangan terkini situasi di Iran.
Mengulas usaha damai, beliau berkata Malaysia ambil maklum kesediaan Iran untuk berunding, namun menegaskan rundingan itu perlu disertai jaminan kukuh bagi mengelakkan keganasan berulang.
“Penyelesaian mesti melibatkan penamatan perang secara menyeluruh dan jaminan kukuh bagi mengelakkan keganasan berulang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang didakwa disokong Amerika Syarikat, serta mengutuk sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam.
“Tindakan sedemikian jelas melanggar undang-undang antarabangsa, prinsip kemanusiaan dan nilai keadilan” katanya.
Malaysia juga merakamkan takziah kepada rakyat Iran atas kehilangan besar yang menimpa kepimpinan tertinggi negara itu, termasuk tokoh politik, ketenteraan dan keselamatan, di samping nyawa tidak berdosa termasuk kanak-kanak dan orang awam.
Beliau turut menyatakan keprihatinan terhadap negara-negara sahabat di Teluk yang terkesan akibat konflik berkenaan.
“Pengalaman lalu di Gaza dan Lebanon membuktikan gencatan senjata tanpa jaminan kukuh hanya akan mengulang kitaran keganasan.” Ujarnya.
Sehubungan itu, Malaysia menegaskan bahawa usaha damai mesti berteraskan keadilan, akauntabiliti dan komitmen berpanjangan demi menjamin keselamatan semua pihak serta memulihkan maruah kemanusiaan di rantau Asia Barat.
Beliau turut menghargai penghargaan Presiden Pezeshkian terhadap sokongan Malaysia dan menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh solidariti tersebut.
Baca juga:







