KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada di kedudukan ke-12 dunia dalam Indeks Kemudahan Berurus Niaga (Ease of Doing Business Index).
Hal ini mencerminkan keberkesanan agenda reformasi pentadbiran yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pencapaian itu turut membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam membentuk ekosistem perniagaan yang cekap, telus dan berdaya saing.
“KPKT memainkan peranan strategik dalam menyelaras Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menerusi penyeragaman dasar dan prosedur, pemendekan tempoh kelulusan lesen serta permit, pengukuhan sistem digital termasuk pelaksanaan OSC 3.0+, selain pemantauan penguatkuasaan yang adil, cekap dan berintegriti.
“Pelaksanaan inisiatif berkenaan dipantau melalui sistem STAR Rating PBT, iaitu penarafan prestasi berasaskan tahap kecekapan dan keberkesanan PBT dalam pengurusan urusan perniagaan, penguatkuasaan, penyampaian perkhidmatan awam serta pembangunan setempat,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Menurut KPKT, pendekatan menyeluruh itu bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelabur dan rakyat, malah menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Baca juga:







