ISTANBUL: Malaysia sekali lagi melakar sejarah di pentas antarabangsa apabila dinobat sebagai penerima Anugerah Khas Tertinggi Global Zero Waste Award 2025, satu pengiktirafan berprestij atas komitmen luar biasa negara dalam melaksanakan prinsip ekonomi kitaran dan pengurusan sisa mampan.
Anugerah itu disampaikan semasa Global Zero Waste Forum 2025 yang berlangsung di Istanbul, Türkiye dari 17 hingga 19 Oktober, menghimpunkan penyertaan daripada 104 negara dan 118 organisasi antarabangsa.
Malaysia tampil sebagai contoh unggul dalam transformasi hijau, membuktikan bahawa pendekatan bersepadu dan dasar berwawasan mampu membawa perubahan nyata.
Delegasi negara diketuai oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang turut menyampaikan ucaptama bertemakan ‘Zero Waste as a Global Duty’ pada sesi pembukaan rasmi forum tersebut.
“Sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat, Malaysia beriltizam memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam mempercepatkan penyelesaian bandar mampan dan inisiatif sifar sisa global,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.
Sempena forum itu, Nga turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama Menteri Alam Sekitar, Perbandaran dan Perubahan Iklim Turkiye, Murat Kurum serta Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Anaclaudia Roserbach bagi membincangkan usaha mengarusperdanakan agenda pembangunan bandar mampan dalam kerangka UNFCCC.
Anugerah khas yang diterima Malaysia merupakan kategori tertinggi yang dianugerahkan oleh Zero Waste Foundation, sebuah badan antarabangsa di bawah penaungan Isteri Presiden Türkiye, Emine Erdoğan.
Yayasan ini bekerjasama rapat dengan UN-Habitat dalam mempromosikan kesedaran dan tindakan global ke arah bandar bebas sisa.
Pengiktirafan ini menjadi bukti kukuh terhadap keberkesanan dasar Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh amalan lestari dan kelestarian alam sekitar di Malaysia.
Kejayaan ini disambut dengan penuh rasa syukur oleh rakyat dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), yang melihatnya sebagai hasil usaha kolektif seluruh negara dalam memacu transformasi hijau dan menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama agenda Zero Waste di peringkat global.








