PARLIMEN | Malaysia telah menerima jemputan rasmi daripada Mesir dan Perancis untuk menjadi penganjur bersama dalam Sidang Pembinaan Semula Gaza, satu usaha antarabangsa yang bertujuan memulihkan wilayah yang musnah akibat konflik berpanjangan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa Malaysia akan menyertai ‘Gaza Reconstruction Conference’ yang dijadual berlangsung bulan ini di Mesir, sebagai tanda solidariti dan komitmen terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Kita akan hadir bagi memastikan Malaysia dapat menyumbang, walaupun tidak besar, agar usaha pembinaan semula ini dapat digerakkan secara kolektif,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan 2026 bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata, penyertaan Malaysia adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh sokongan global terhadap pemulihan Gaza yang telah mengalami kemusnahan besar dan penderitaan berpanjangan.
“Ini juga bagi memastikan penderitaan rakyat Palestin terutama di Gaza dapat dikurangkan, walaupun tidak serta-merta,” ujarnya, menyentuh keprihatinan Malaysia terhadap nasib rakyat Palestin.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memaklumkan bahawa Malaysia turut dijemput ke mesyuarat menteri luar beberapa negara Islam baru-baru ini bagi membincangkan pengurusan pascaperang.
“Malaysia dijemput, tetapi saya tidak dapat hadir kerana berada di Korea Selatan.
“Namun saya telah memaklumkan kepada rakan sejawat di Turkiye bahawa Malaysia akan bersama dalam sebarang keputusan yang dibuat,” katanya.
Mengulas mengenai penyertaan pasukan pengaman, beliau berkata, Malaysia sentiasa bersedia menyumbang tenaga dan kepakaran selagi ia berlandaskan mandat rasmi daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Jika dijemput oleh PBB untuk menyertai pasukan pengaman, kita tidak pernah gagal berbuat demikian.
“Kita tidak boleh menghantar pasukan pengaman tanpa mandat rasmi,” tegasnya, menjawab persoalan awam mengenai ketiadaan pasukan pengaman Malaysia di Gaza.
Untuk rekod, konflik di Gaza telah meragut puluhan ribu nyawa dan memusnahkan sebahagian besar infrastruktur asas, mendorong pelbagai negara termasuk Malaysia untuk tampil menyokong usaha pembinaan semula dan bantuan kemanusiaan.








