Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Malaysia dipilih menjadi tuan rumah dalam Sekretariat Forum Ahli Parlimen Asia Mengenai Penduduk dan Pembangunan (AFPPD) di peringkat rantau Asia Pasifik.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin, manfaat yang bakal diperolehi ketika menjadi tuan rumah ialah, kedudukan negara lebih kukuh serta mampan dalam menerajui isu penduduk dan pembangunan di rantau Asia Pasifik.
Pemilihan itu diumumkan semasa Mesyuarat Agung AFPPD ke-15 yang berlangsung di ibu negara semalam, ia dilaksanakan menerusi sistem bidaan yang diketuai oleh Pengerusi AFPPD Malaysia Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, setelah menerima sokongan sebulat suara daripada seluruh negara anggota.

Menurut Alexander Nanta Linggi, Malaysia amat berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan dan bertekad untuk menggalas tanggungjawab tersebut dengan penuh komitmen.
“Menjadi tuan rumah Sekretariat AFPPD adalah satu pengiktirafan terhadap peranan aktif Malaysia dalam memperjuangkan isu seperti pemerkasaan belia, kesaksamaan gender, populasi menua dan kesihatan reproduktif.
“Kami komited memastikan Sekretariat ini menjadi platform dinamik dan inklusif untuk menggalakkan dialog, kerjasama serta tindakan berimpak di seluruh rantau ini,” katanya.
Dalam perkembanggan sama, Sekretariat AFPPD, yang kini berpangkalan di Jepun, akan dipindahkan ke Kuala Lumpur lantas berperanan sebagai pusat sokongan kepada ahli-ahli parlimen serantau dalam kerja advokasi dan legislatif berkaitan isu penduduk dan pembangunan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Malaysia turut diberi keistimewaan memegang jawatan Setiausaha Agung AFPPD, dan bagi tujuan itu, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee telah dicalonkan secara sebulat suara bagi memenuhi jawatan berkenaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, turut dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita AFPPD untuk tempoh empat tahun.
Jawatan Pengerusi AFPPD pula dijawat oleh Jepun, dengan lima Naib Pengerusi terdiri daripada wakil New Zealand, Kemboja, China, India dan Kyrgyzstan.
Penempatan sekretariat ini di Malaysia mencerminkan pengaruh negara yang semakin meningkat dalam arena diplomasi parlimen antarabangsa serta komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Program Tindakan Persidangan Antarabangsa Mengenai Penduduk dan Pembangunan (ICPD).
Untuk rekod, AFPPD telah Ditubuhkan pada 1981, yang mana ia merupakan rangkaian yang merangkumi 30 Jawatankuasa Kebangsaan Ahli Parlimen, bertujuan mempromosikan penglibatan parlimen dalam menangani isu-isu penduduk dan pembangunan di rantau Asia dan Pasifik.
Baca juga: