Malaysia Dipuji Trump Sebagai Negara Hebat, Bertenaga

KUALA LUMPUR: Malaysia menerima pujian daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menyifatkan negara ini sebagai “hebat dan sangat bertenaga” selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Dalam catatan di Truth Social sejurus berlepas ke Jepun pagi tadi, Trump menyatakan kekagumannya terhadap Malaysia selaku tuan rumah sidang kemuncak yang menyaksikan beberapa pencapaian diplomatik penting.

“TIADA PERANG! Berjuta-juta nyawa diselamatkan,” tulis presiden ekonomi terbesar dunia itu, merujuk kepada pemeteraian perjanjian damai bersejarah antara Thailand dan Kemboja yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Perjanjian tersebut, digelar Perjanjian Damai Kuala Lumpur, ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, disaksikan oleh Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari Ahad.

Trump menyifatkan penglibatannya dalam proses damai itu sebagai satu penghormatan besar sebelum meneruskan perjalanan ke Jepun.

“Ia merupakan suatu penghormatan untuk saya melakukan perkara tersebut,” katanya.

Selain menjadi medan perdamaian, Malaysia turut menjadi platform penting bagi kerjasama ekonomi serantau.

Trump mengesahkan bahawa Amerika Syarikat telah menandatangani perjanjian perdagangan dan nadir bumi penting dengan Malaysia sepanjang sidang berlangsung.

Dalam jadual padatnya pada Ahad, beliau turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar, yang menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dan Memorandum Persefahaman mengenai Mineral Penting antara kedua-dua negara.

Trump juga menandatangani perjanjian perdagangan dengan Thailand dan Kemboja, memperkukuh hubungan ekonomi Amerika Syarikat dengan rantau Asia Tenggara.

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat itu tiba di Malaysia sekitar pukul 10 pagi Ahad dan berlepas pada 10.06 pagi hari ini, menandakan berakhirnya lawatan rasmi pertamanya ke negara ini.

Lawatan ini juga merupakan penyertaan sulung beliau ke Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN sejak kembali menjawat jawatan presiden pada Januari lalu.

Beliau turut menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-13 pada Ahad.

Trump kini menjadi presiden Amerika ketiga yang melawat Malaysia, mengikuti jejak Lyndon B. Johnson (1966) dan Barack Obama (2014 dan 2015).

Anda Mungkin Berminat