Malaysia–Ethiopia Kukuh Persahabatan Melalui Sambutan Rasmi Penuh Istiadat

ADDIS ABABA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sambutan rasmi penuh istiadat di Istana Negara Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia sempena lawatan rasminya ke negara itu.

Sambutan merangkumi pemeriksaan barisan kawalan kehormatan, sekali gus mencerminkan penghormatan serta persahabatan erat antara kedua-dua negara.

Dalam acara simbolik yang penuh makna, Anwar bersama Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali, menanam pokok kelapa sawit di taman Istana Negara sebagai tanda persahabatan tulen.

Tindakan itu turut menzahirkan komitmen Ethiopia untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Malaysia.

Selain itu, delegasi Malaysia dibawa meninjau Muzium Istana Negara yang mempamerkan artifak sejarah dan warisan bangsa Ethiopia.

Lawatan tersebut menggambarkan tekad kepimpinan Ethiopia untuk menjadikan warisan lampau sebagai sumber ilham dan pedoman bagi generasi masa hadapan.

Anwar menyifatkan pengalaman itu sebagai amat bermakna, sambil menekankan komitmen Ethiopia dalam memelihara khazanah sejarah negara.

“Pengalaman ini amat bermakna, namun yang lebih mengesankan ialah komitmen serta iltizam kepimpinan Ethiopia hari ini dalam memelihara dan memanfaatkan tinggalan sejarah itu, agar terus disaksikan, difahami dan dikaji oleh anak-anak muda supaya warisan besar bangsa ini terus hidup, segar dan memberi erti,” katanya.

Anda Mungkin Berminat