Malaysia–Ethiopia Perkukuh Kerjasama Strategik, Lima Dokumen Penting Dimeterai

PETALING JAYA: Malaysia dan Ethiopia mengorak langkah baharu dalam hubungan dua hala apabila lima dokumen penting dimeterai bagi memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Pertukaran dokumen bersejarah itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Ethiopia, Abiy Ahmed Ali, dalam satu majlis rasmi yang menandakan komitmen kedua-dua negara untuk memperluas ruang kerjasama.

Dokumen yang ditandatangani merangkumi Perjanjian Perkhidmatan Udara, Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Kesihatan, MoU Bidang Pelancongan, kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Bandaraya Addis Ababa serta pengumuman pertukaran nota bagi memulakan Konsultasi Dua Hala secara berkala.

Anwar berkata, kerjasama yang dipersetujui membuktikan komitmen kedua-dua negara untuk membina hubungan lebih tersusun dan berdaya saing.

“Langkah ini menzahirkan tekad kita membuka ruang kemajuan yang memberi manfaat nyata kepada rakyat Malaysia dan Ethiopia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Menurut beliau, Perjanjian Perkhidmatan Udara dijangka memperluas sambungan penerbangan antara Asia dan Afrika Timur, sekali gus merancakkan sektor perdagangan serta mobiliti rakyat.

MoU Kesihatan pula katanya, membuka peluang kolaborasi dalam penyelidikan, latihan kepakaran dan pembangunan sistem perubatan.

Dalam sektor pelancongan, kedua-dua negara bersetuju mempromosikan pertukaran budaya dan aliran pelancong yang lebih aktif.

Kerjasama antara DBKL dan Addis Ababa pula memberi ruang kepada pertukaran kepakaran dalam perancangan bandar serta pengurusan metropolitan moden.

Menurut Anwar, hubungan erat antara Malaysia dan Ethiopia akan terus diperkukuh melalui konsultasi dua hala yang dilaksanakan secara berkala.

“Kita mahu setiap bentuk kerjasama berjalan teratur dan memberi manfaat jelas kepada rakyat,” katanya.

Sebelum ini, kerjasama Malaysia–Ethiopia banyak tertumpu dalam sektor perdagangan dan pertanian.

Namun, peluasan kerjasama kali ini dilihat sebagai satu lonjakan baharu dalam diplomasi Malaysia di benua Afrika, membuka peluang strategik yang lebih luas untuk kedua-dua negara.

Anda Mungkin Berminat