Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Malaysia akan terus memberikan tumpuan kepada usaha pemusatan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, usaha ini seiring dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) pada tahun hadapan.
“Sasaran itu boleh dicapai melalui kerjasama konkrit antara sektor kerajaan dan perniagaan yang boleh dihubungkan melalui Kaukus ASEAN dalam APEC Business Advisory Council (ABAC),” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau menekankan pentingnya memanfaatkan sumber yang ada dan bekerjasama dalam aspek seperti pendigitalan, keselamatan makanan, serta peralihan tenaga.
Anwar turut menggalakkan peranan aktif kaukus ABAC bagi menyokong komitmen ASEAN untuk mencapai kemampanan pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan mengurangkan ketidakseimbangan kekayaan.
Beliau berkata demikian semasa berucap di sesi Dialog Ekonomi Peringkat Tertinggi APEC-ABAC bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Anwar juga menzahirkan penghargaan kepada Indonesia yang telah menjadi Pengerusi Kaukus ASEAN ABAC sebelum ini, menunjukkan semangat kerjasama dan solidariti dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Baca juga: