Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Malaysia berusaha memperkukuh hubungan antara negara ASEAN dengan memperbaiki infrastruktur, menyelaraskan peraturan dan memudahkan prosedur perdagangan antara negara anggota.
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS Malaysia), Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata, langkah-langkah itu akan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta inovasi yang akan diberi keutamaan bagi memacu perdagangan dalam ASEAN.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, menegaskan keperluan untuk memperkukuh infrastruktur, menyelaraskan peraturan dan menyokong PKS bagi meningkatkan perdagangan intra-ASEAN.
“Pendekatan ini dijangka membuka potensi besar bagi negara-negara anggota,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa yang sama, katanya, Malaysia juga komited memastikan ASEAN kekal bersatu di tengah-tengah persaingan kuasa besar dunia.
“Pertikaian di Laut China Selatan menjadi salah satu isu utama yang akan ditangani Malaysia dengan mengutamakan prinsip undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Undang-Undang Laut PBB 1982 (UNCLOS).
“Selain itu, Malaysia menyokong penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN sebagai anggota penuh,” katanya.
Dr Mohd Faiz turut menekankan potensi besar ASEAN yang dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang tahun 2030, dipacu oleh populasi mudanya yang aktif.
“Kunci kepada visi ini adalah populasi muda ASEAN dengan lebih 60 peratus berusia di bawah 35 tahun,” tambahnya.
Terdahulu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyasarkan pertumbuhan PKS sebanyak lima peratus pada tahun 2027.
Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yakin sasaran itu dapat dicapai menerusi kepengerusian ASEAN pada tahun ini.
Baca juga: