PUTRAJAYA: Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menggesa Thailand dan Kemboja melaksanakan gencatan senjata serta-merta susulan pertempuran bersenjata yang tercetus di sempadan kedua-dua negara pada 24 Julai lalu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia memandang serius konflik berkenaan yang mengorbankan nyawa dan mencederakan ramai, termasuk orang awam.
“Malaysia menyeru kedua-dua pihak untuk menunjukkan kawalan sepenuhnya dan segera mengambil langkah meredakan ketegangan. Penyelesaian secara diplomatik dan dialog adalah penting, selaras dengan semangat solidariti ASEAN dan kejiranan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghubungi Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bagi merayu agar konflik dihentikan segera dan membuka ruang rundingan secara damai.
Malaysia juga menyatakan kesediaan untuk membantu melalui peranan Pengerusi ASEAN dalam mencari jalan penyelesaian yang dapat diterima kedua-dua pihak.
Pergolakan di sempadan bermula awal pagi 24 Julai apabila tembakan artileri dari kedua-dua pihak menyebabkan 12 orang maut di Thailand, termasuk kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.
Tentera Udara Thailand turut mengerahkan pesawat pejuang F-16 untuk mengebom sasaran tentera Kemboja.
Kejadian itu berlaku selepas ketegangan meningkat susulan insiden periuk api yang mencederakan tentera Thailand dan membawa kepada pengusiran duta kedua-dua negara.
Difahamkan, pergolakan ini adalah insiden paling buruk antara Thailand dan Kemboja sejak konflik sempadan pada 2011.
Baca juga:








