Malaysia Gesa Gencatan Senjata Tanpa Syarat Di Timur Tengah

KUALA LUMPUR: Malaysia menyeru agar gencatan senjata tanpa syarat segera dilaksanakan di Timur Tengah susulan serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran yang mengorbankan pemimpin, anggota tentera serta orang awam termasuk kanak-kanak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang pertikaian antarabangsa harus diselesaikan melalui rundingan konstruktif, bukan tindakan ketenteraan yang hanya menambah penderitaan.

“Tindakan ketenteraan berterusan terhadap negara berdaulat seperti Iran berisiko meningkatkan ketegangan dan menggugat kestabilan rantau Teluk,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurut beliau, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berkenaan yang jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Malaysia mengutuk keras serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran yang mengorbankan pemimpin, anggota tentera dan orang awam, termasuk kanak-kanak,” katanya lagi.

Kerajaan turut menekankan komitmen memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Timur Tengah termasuk mereka yang terkandas akibat gangguan penerbangan dan penutupan ruang udara.

“Kerajaan Malaysia bertanggungjawab memastikan keselamatan rakyatnya di Timur Tengah, termasuk mereka yang terkandas akibat gangguan penerbangan dan penutupan ruang udara.

“Wisma Putra dan kedutaan Malaysia memantau situasi dari dekat, memberikan bantuan konsular dan mengatur pengangkutan pulang bagi rakyat Malaysia yang mahu kembali ke tanah air walaupun penerbangan dari beberapa negara masih terbantut,” katanya.

Anda Mungkin Berminat