KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Kemboja dan Thailand supaya mematuhi serta melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL) sebagai langkah penting untuk menamatkan ketegangan dan memulihkan keamanan di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, gesaan itu turut merangkumi pematuhan menyeluruh terhadap Perjanjian Gencatan Senjata yang dimeterai pada 28 Julai lalu.
“Kedua-dua pihak (Kemboja dan Thailand) digesa melaksanakan secara penuh dan berkesan semua perjanjian serta persetujuan damai yang telah dicapai,” katanya dipetik.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN mengenai situasi semasa antara Kemboja dan Thailand yang berlangsung di ibu negara.
Mohamad turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berhubung secara aktif dengan pemimpin ASEAN lain sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menangani ketegangan berkenaan.
Menurut beliau, selaku Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri menzahirkan rasa dukacita terhadap korban orang awam akibat konflik yang berpanjangan.
Katanya, konflik tersebut bukan sahaja mengancam keselamatan, malah mencetuskan perpindahan dalaman yang besar dalam kalangan penduduk terjejas.
Sehubungan itu, Mohamad menegaskan bahawa situasi berkenaan perlu ditangani segera melalui penyelesaian secara aman, selaras dengan komitmen ASEAN terhadap keamanan dan kestabilan serantau.








