Malaysia gesa kuasa veto bersyarat lindungi kemanusiaan

Oleh: Kamilia Ali

PARLIMEN: Dalam konteks Palestin, Malaysia menggesa supaya kuasa veto bersyarat dilaksanakan agar tidak boleh digunakan dalam situasi jenayah genosid, perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, kata Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

Katanya, Malaysia akan terus menggesa supaya kuasa veto dihadkan atau dimansuhkan sama sekali bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap kredibiliti serta peranan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Malaysia merupakan satu-satunya negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam Komanwel yang telah menekankan dan membangkitkan isu Palestin dalam Persidangan Ketua-Ketua Negara Kerajaan Komanwel ke-27 2024.

“Malaysia telah menggesa negara anggota komanwel supaya tidak mengamalkan dan mengizinkan ‘double standard’ (mengikut darjat) bagi jenayah genosid, perang dan jenayah kemanusiaan oleh rejim zionis Israel,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia tetap teguh dengan komitmen yang menyokong agensi bantuan dan kerja untuk pelarian Palestin di Asia Barat.

“Negara tetap menyalurkan bantuan kemanusiaan dan perkhidmatan kritikal kepada rakyat Palestin, tatkala konflik berterusan,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Malaysia telah menyediakan satu draf resolusi Perhimpunan Agung PBB yang antara lain mencadangkan agar Israel disingkir sebagai anggota pertubuhan itu sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang, hukum dan keputusan dalam isu membabitkan Palestin.

Draf resolusi itu sedang dalam proses rundingan dan dijangka akan dibentangkan di Perhimpunan Agung PBB untuk kelulusan dalam masa terdekat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat