GENEVA: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menyeru agar kuasa veto di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) disemak semula dalam isu-isu kemanusiaan yang melibatkan nyawa rakyat Palestin.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri High-Level Meeting on Upholding the UN Charter and International Law to Ensure International Peace and Security di Geneva sempena Sixth World Conference of Speakers of Parliament anjuran Republik Islam Iran.
“Kuasa veto tidak seharusnya menjadi penghalang kepada tindakan segera dalam situasi kecemasan kemanusiaan.
“Kita perlu menilai semula mekanisme ini agar keadilan dapat ditegakkan secara kolektif,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Persidangan itu menghimpunkan Speaker dan Ahli Parlimen dari seluruh dunia bagi membincangkan peranan Parlimen dalam memperkukuh sistem perundangan antarabangsa berpandukan Piagam PBB.
Sebagai Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Johari turut menzahirkan sokongan Parlimen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan usaha global menegakkan keadilan di bumi yang dilanda konflik berpanjangan itu.
“Parlimen Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin. Isu ini bukan hanya soal politik, tetapi soal kemanusiaan sejagat yang memerlukan suara bersatu masyarakat antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Johari menekankan keperluan mereformasi Majlis Keselamatan PBB secara inklusif, supaya suara negara-negara dari Asia, Afrika dan Amerika Selatan tidak lagi terpinggir dalam proses membuat keputusan global.
“Sudah tiba masanya Majlis Keselamatan PBB mencerminkan realiti geopolitik semasa. Setiap wilayah mesti diberi suara yang adil, dan bukan dikawal segelintir kuasa besar semata-mata,” katanya.