Malaysia Gesa Masjid Al-Aqsa Dibuka Segera

PETALING JAYA: Malaysia menggesa agar pintu Masjid Al-Aqsa dibuka dengan kadar segera, susulan tindakan Israel menutup akses ke tempat suci ketiga umat Islam itu.

Gesaan lantang tersebut disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook beliau pada Selasa.

Beliau berkata, umat Islam di Palestin telah dinafikan hak beribadah sepanjang hari-hari terakhir Ramadan dan kini berlanjutan hingga sambutan Aidilfitri.

“Ketika umat Islam di seluruh dunia bersiap sedia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, tentera pendudukan Israel telah menutup pintu Masjid al-Aqsa.

“Para jemaah telah dinafikan hak mereka untuk beribadah di tempat suci ketiga Islam ini, sepanjang hari-hari terakhir Ramadan dan kini berlanjutan hingga Aidilfitri,” katanya.

Anwar berkata, tindakan Israel itu tidak mempunyai sebarang asas sah dari segi undang-undang, moral mahupun maruah kemanusiaan.

“Penutupan berterusan al-Aqsa tidak dapat dipertahankan dan merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa.

“Kelangsungan tindakan ini mencerminkan tahap kebal undang-undang yang semakin berkembang dari masa ke masa,” katanya.

Beliau turut menyeru kerajaan-kerajaan yang mempunyai pengaruh untuk tidak sekadar mengeluarkan kenyataan tetapi mengambil tindakan konkrit bagi memberi tekanan agar Masjid Al-Aqsa dibuka semula dengan segera.

“Kepada umat Islam Palestin yang menyambut Aidilfitri dalam keadaan ini, iman, kesabaran dan ketabahan anda dilihat.

“Anda tidak berdiri sendirian. Rakyat Malaysia akan terus bersuara di tempat yang perlu dan bertindak di tempat yang mampu,” katanya.

Anda Mungkin Berminat