KUALA LUMPUR: Pemimpin Komuniti Asia Sifar Pelepasan (AZEC) menekankan keperluan mempercepatkan pembangunan Grid Kuasa ASEAN sebagai langkah penting ke arah mencapai matlamat pelepasan sifar bersih di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua negara anggota ASEAN digesa memberikan kepakaran teknikal serta komitmen kewangan penuh bagi merealisasikan usaha tersebut.
Beliau menegaskan, Malaysia komited memperkukuh tadbir urus iklim dan menyokong pelaksanaan peralihan tenaga melalui pelbagai dasar dan inisiatif strategik.
“Ini termasuk Akta CCUS 2025 yang menyediakan asas perundangan bagi pengurusan karbon berskala besar dan pembangunan ekonomi rendah karbon.
“Inisiatif ini menandakan peralihan yang jelas daripada aspirasi kepada pelaksanaan, seterusnya menyokong pelaburan dalam teknologi rendah karbon.
“Kami mengalu-alukan pembiayaan berterusan bagi pelaburan dalam teknologi seperti hidrogen, CCUS dan biofuel,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) Ketiga, di sini.
Menurut Anwar, usaha mencapai karbon neutral perlu dilaksanakan secara inklusif dan berpaksikan teknologi, dengan penyelarasan serantau sebagai elemen utama bagi memastikan keberkesanan tindakan.
Beliau menutup ucapannya dengan menyeru semua negara anggota membawa pulang komitmen lebih kukuh dan berterusan agar hala tuju yang dipersetujui dapat diterjemahkan kepada tindakan nyata.
Baca juga:








