Malaysia Gesa Reformasi Institusi Global Hadapi Ketidaktentuan Dunia

TOKYO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru dunia agar melangkaui kerangka lama yang terlalu bergantung kepada persaingan kuasa dan kepentingan sempit dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik serta geoekonomi yang semakin mencabar.

Berucap pada Persidangan Antarabangsa Nikkei Future of Asia di Tokyo, Anwar berkata, konflik yang berlarutan, persaingan kuasa besar, gangguan rantaian bekalan global dan ketidaktentuan ekonomi menuntut pendekatan baharu yang berasaskan kerjasama dan persefahaman.

“Cabaran kita hari ini bukan meninggalkan institusi dan tatanan antarabangsa sedia ada tetapi mereformasi serta memperkukuhnya supaya kekal relevan dengan tuntutan zaman yang semakin berubah,” katanya dalam ucaptama bertajuk Navigating Strategic Uncertainty.

Beliau berkata, kemakmuran Asia dibina melalui keterbukaan, perdagangan, pelaburan dan kerjasama yang berjaya mengeluarkan jutaan manusia daripada kemiskinan.

Dalam konteks itu katanya, negara kuasa pertengahan seperti Malaysia mempunyai tanggungjawab penting untuk menjadi jambatan persefahaman.

“Walaupun tidak mempunyai pengaruh seperti kuasa besar, kita masih mampu memainkan peranan penting dalam menghubungkan pihak yang berbeza dan memupuk persefahaman,” katanya.

Anwar turut menyentuh perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) yang disifatkan mampu membawa manfaat besar kepada manusia, namun perlu ditadbir secara inklusif dan bertanggungjawab.

“Kemajuan teknologi tidak boleh dibiarkan hanya memperkayakan segelintir pihak atau melebarkan jurang ketidaksamaan,” katanya.

Kata beliau, negara membangun mesti diberikan ruang serta suara bermakna dalam menentukan tatakelola teknologi yang bakal mempengaruhi kehidupan berbilion penduduk dunia.

Mengulas peranan ASEAN, Anwar berkata, blok serantau itu kekal relevan sebagai platform keterangkuman, dialog dan kerjasama dalam mendepani cabaran global.

Prinsip sama, katanya, turut menjadi asas hubungan erat Malaysia–Jepun khususnya dalam memperkukuh kerjasama industri semikonduktor, peralihan tenaga, ekonomi digital dan AI.

“Dunia hari ini tidak kekurangan kuasa tetapi kekurangan kefahaman bahawa kerjasama sentiasa lebih baik daripada perpecahan, institusi perlu diperbaharui dan kepimpinan memerlukan keberanian untuk membentuk masa depan,” tegas beliau.

Anda Mungkin Berminat