Malaysia Hampir Capai Sasaran Pelaburan RM13 Bilion di Expo 2025 Osaka

PETALING JAYA: Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka mencatat kejayaan membanggakan apabila mencapai 85.09 peratus daripada sasaran pelaburan RM13 bilion, dengan nilai komitmen melebihi RM11.061 bilion setakat ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pencapaian itu memberi keyakinan sasaran penuh mampu dicapai dengan baki lebih dua bulan sebelum ekspo berakhir.

“Alhamdulillah, kita berada di landasan yang tepat. Dengan momentum ini, insya-Allah sasaran pelaburan akan tercapai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain pelaburan, Pavilion Malaysia turut menerima lebih 2.2 juta pengunjung, melepasi sasaran awal 1.5 juta orang yang ditetapkan sebelum ini.

Menurut Tengku Zafrul, pencapaian itu membuktikan Pavilion Malaysia menjadi platform strategik bukan sahaja untuk mempromosi budaya dan kulinari tempatan, tetapi juga menampilkan Malaysia sebagai peneraju inovasi, perdagangan dan diplomasi di peringkat ASEAN.

Beliau turut merakam penghargaan kepada 21 kementerian dan lebih 70 agensi yang menyumbang kepada kejayaan itu, walaupun MITI bertindak sebagai penyelaras utama.

“Kita akan teruskan momentum ini untuk mengukuhkan kedudukan negara di mata dunia,” katanya.

Expo 2025 Osaka, yang berlangsung di Jepun dari April hingga Oktober, menghimpunkan penyertaan negara dari seluruh dunia bagi mempamerkan pencapaian teknologi, inovasi dan budaya, selain menjadi medan rundingan perdagangan dan kerjasama antarabangsa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat