SUBANG: Malaysia menghantar pasukan augmented Interim Observer Team (IOT) ke Kemboja bagi melaksanakan mandat sebagai pemerhati kepada perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan berkata, majlis penghantaran pasukan berkenaan disempurnakan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Zahani Zainal Abidin TUDM di Pangkalan Udara Subang, pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, pasukan sementara ini dibentuk atas jemputan kerajaan Kemboja, sementara rundingan ke arah penubuhan pasukan pemantau kekal, ASEAN Observer Team (AOT), masih diteruskan seperti dipersetujui dalam Mesyuarat General Border Committee (GBC) pada 7 Ogos lalu.
“Augmented IOT melibatkan 10 pegawai tentera ASEAN, terdiri daripada enam pegawai Malaysia, dua dari Filipina dan dua dari Indonesia.
“Pasukan ini diketuai Brigedier Jeneral Datuk Pahlawan Asri Shukor sebagai Ketua Misi,” kata kenyataan itu.
Tambah ATM, pasukan berkenaan akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik di Kemboja berhampiran kawasan sempadan, dengan penghantaran dilakukan menggunakan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Malaysia juga dipertanggungjawabkan untuk merangka dan membangunkan Terma Rujukan (TOR) bagi pelaksanaan misi ini yang sudah dipersetujui oleh kerajaan Kemboja.
“Misi ini bukan sahaja melibatkan pemantauan teknikal terhadap pematuhan gencatan senjata, malah menjadi simbol solidariti ASEAN dalam menyelesaikan konflik secara aman,”kata kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, ATM turut merakamkan penghargaan kepada negara anggota yang terlibat, khususnya Filipina dan Indonesia, atas kerjasama erat dalam menjayakan pelaksanaan misi berkenaan.
“Malaysia komited untuk terus memainkan peranan aktif menyumbang kepada kestabilan dan keamanan serantau menerusi kerjasama pelbagai hala yang inklusif dan konstruktif,” katanya.
Baca juga:







