PETALING JAYA: Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap komitmen China dalam memperkukuh hubungan serantau dan dua hala terutama dalam menghadapi cabaran global serta perubahan geopolitik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan sinergi antara kedua-dua negara dalam pertemuan empat mata dengan Premier China, Li Qiang ketika Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.
“Sinergi antara kedua negara penting untuk dipertingkatkan khususnya dalam bidang ekonomi, teknologi, projek infrastruktur dan pengangkutan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Menangani pertikaian di Laut China Selatan, mengemaskini perkembangan perjanjian Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), industri halal dan perdagangan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tambah Anwar, Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bukan sekadar platform diplomatik tetapi juga satu pencerminan usaha Malaysia dalam memimpin rantau ini memacu kesepaduan, memperkukuh kerjasama ekonomi dan menangani isu serantau secara pragmatik.
Hari kedua sidang kemuncak ini memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan ASEAN dengan rakan strategik dalam pelbagai bidang.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, dua agenda utama hari ini ialah Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua serta Sidang Kemuncak trilateral ASEAN-GCC-China yang buat julung kali diadakan.
Dalam konteks ekonomi global, gabungan ASEAN, GCC dan China kini mencatat jumlah ekonomi mencecah AS$25 trilion dengan melibatkan populasi lebih dua bilion orang.