Malaysia Hargai Sumbangan, Perkhidmatan Duta Besar Indonesia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menerima kunjungan hormat Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono, yang bakal menamatkan perkhidmatannya dan pulang ke Jakarta dalam masa terdekat.

Dalam pertemuan penuh mesra itu, Anwar menyampaikan penghargaan terhadap jasa besar Datuk Hermono sepanjang mengetuai misi diplomatik Indonesia di Malaysia khususnya dalam memperkukuh hubungan dua hala yang sekian lama terjalin erat.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya ingin menzahirkan penghargaan atas sumbangan beliau (Hermono) terutamanya dalam usaha menangani isu-isu utama seperti pekerja migran dan pengurusan sempadan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Perdana Menteri berkata, Malaysia komited untuk terus memperluas kerjasama strategik dengan Indonesia demi manfaat rakyat kedua-dua negara, sambil menekankan bahawa hubungan rapat Kuala Lumpur–Jakarta kekal sebagai tonggak kestabilan serantau.

Anda Mungkin Berminat