Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Rusia khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk memperluas peluang pengajian pelajar tempatan ke negara tersebut.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan rakan sejawat dari Rusia, Sergey Lavrov semasa Mesyuarat Pasca Menteri ASEAN–Rusia yang berlangsung hari ini bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58).
“Malaysia menyatakan keinginan untuk mendapatkan lebih banyak tempat bagi menghantar pelajar ke Rusia.
“Mereka (Rusia) memberi maklum balas yang positif terhadap permintaan itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Mohamad berkata, inisiatif itu selari dengan dasar kerajaan untuk memperkukuh pembangunan sumber manusia melalui TVET yang kini menjadi antara keutamaan nasional dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Dalam pertemuan itu, Lavrov turut menyambut baik cadangan tersebut dan meminta agar permohonan rasmi dikemukakan melalui saluran diplomatik bagi tindakan lanjut.
Mesyuarat Pasca Menteri ASEAN–Rusia yang dipengerusikan bersama oleh kedua-dua Menteri Luar itu menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara ASEAN dan Rusia khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan keselamatan serantau.