PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Pertubuhan Dunia Islam bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (ICESCO), Dr Salim M AlMalik, dalam usaha merintis kerjasama lebih komprehensif antara Malaysia dan pertubuhan berpengaruh berkenaan.
Dalam pertemuan yang berlangsung pada petang Isnin, kedua-dua pihak menumpukan perbincangan ke arah memperluas kolaborasi dalam bidang pendidikan, teknologi serta pemeliharaan warisan budaya di kalangan negara-negara Islam dan ASEAN.
“Bicara kami antaranya tertumpu ke arah meneroka kerjasama dalam bidang pendidikan, teknologi dan pemeliharaan warisan merentasi negara-negara Islam dan ASEAN,” kata Perdana Menteri menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Menurutnya, ICESCO, sebuah pertubuhan antara kerajaan beribu pejabat di Rabat dan dianggotai lebih 50 buah negara memainkan peranan penting dalam memajukan pendidikan, sains dan kebudayaan di dunia Islam menerusi jaringan kerjasama yang luas.
Menurut beliau, Malaysia menghargai pelbagai inisiatif strategik yang sedang dilaksanakan oleh ICESCO, selari dengan komitmen negara membangunkan kapasiti masa depan dalam kalangan negara membangun.
“Saya mengambil maklum pelbagai inisiatif strategik yang sedang digerakkan oleh ICESCO, dan menekankan keperluan memberi tumpuan kepada bidang-bidang masa depan termasuk pensijilan latihan dalam kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan teknologi baharu yang menjadi keutamaan bagi negara-negara membangun,” katanya.








