Malaysia–India Perkukuh Kerjasama Strategik Melalui 11 MOU

PETALING JAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia mencapai kemuncak dengan pertukaran 11 memorandum dan nota persefahaman (MoU) yang disaksikan bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Modi.

Pertukaran tersebut mencerminkan kesepakatan kedua-dua negara untuk melonjakkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, semikonduktor, pengurusan bencana, pemuliharaan hidupan liar, kebajikan pekerja, TVET, keselamatan dan kesihatan.

Dalam sidang media bersama, Anwar berkata, hubungan Malaysia–India terbina atas persahabatan yang lama terjalin, berpaksikan kepercayaan dan saling menghormati.

“Saya tegaskan bahawa hubungan Malaysia–India terbina atas persahabatan yang terjalin sejak sekian lama, berpaksikan kepercayaan dan saling menghormati, dan terus diperkukuh demi kemakmuran bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama ekonomi kedua-dua negara boleh diperkasa melalui peningkatan perdagangan dua hala, penggunaan ringgit dan rupee dalam pelaburan serta perdagangan bagi mempercepat kerjasama dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, tenaga dan ekonomi digital.

Beliau menekankan bahawa pendidikan kekal dekat di hatinya, dengan komitmen membuka lebih banyak ruang pertukaran pelajar dan kerjasama institusi pengajian tinggi, selain memperkukuh TVET serta pembangunan bakat generasi masa depan.

Menyentuh isu serantau dan antarabangsa, Anwar menzahirkan penghargaan terhadap komitmen tegas Modi dalam menyokong usaha keamanan dunia termasuk berhubung situasi di Asia Barat khususnya Gaza serta konflik Ukraine–Rusia.

Dalam semangat persahabatan, Malaysia turut menyatakan persetujuan terhadap pembukaan Konsulat India di Kota Kinabalu, Sabah, sebagai langkah memperkukuh hubungan rakyat kedua-dua negara.

Anda Mungkin Berminat