PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa hubungan Malaysia–India bukan sekadar terjalin melalui dasar dan perjanjian rasmi tetapi berakar kukuh dalam sejarah, budaya serta persahabatan yang telah terbina sejak berabad lamanya.
Beliau berkata demikian selepas berkesempatan menyantuni komuniti India bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi, pada satu pertemuan pada Sabtu.
“Pertemuan ini mengingatkan kita bahawa hubungan Malaysia dan India bukan sekadar terjalin melalui dasar dan perjanjian rasmi, sebaliknya berakar kukuh dalam sejarah, budaya serta persahabatan yang telah dibina sejak berabad lamanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Perdana Menteri turut berkata, komuniti India merupakan sebahagian penting daripada pembinaan negara Malaysia dengan sumbangan yang melangkaui pelbagai bidang serta menjadi tunjang kepada keharmonian dan kemajuan masyarakat majmuk.
Hubungan dua hala Malaysia–India kini terus diperkukuh melalui kerjasama dalam bidang ekonomi, digital, teknologi serta pertukaran rakyat, sejajar dengan aspirasi pembangunan masa hadapan kedua-dua negara.
Dalam menghadapi ketidaktentuan dan cabaran global, Anwar menekankan keperluan kedua-dua negara untuk menjadi suara yang mengutamakan dialog, kerjasama dan nilai kemanusiaan.
“Hakikatnya, persahabatan antara negara dinilai bukan pada kata-kata tetapi pada sejauh mana kerjasama tersebut membawa manfaat yang nyata kepada kehidupan rakyat,” katanya.








