Malaysia, Indonesia sambung semula perbincangan Tahunan

KUALA LUMPUR: Hubungan dua hala Malaysia-Indonesia bakal diperkukuh menerusi pemulaan semula Mesyuarat perbincangan Tahunan (Annual Consultation) antara kedua-dua negara selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2017.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto telah bersetuju untuk mengadakan sesi tersebut semasa lawatan kerja Perdana Menteri ke Jakarta, Jumaat lalu.

“Perbincangan antara kedua-dua pemimpin berlangsung dalam suasana yang cukup positif. Mereka bersetuju untuk memulakan semula Konsultasi Tahunan yang akan berlangsung pada 29 Julai ini di Jakarta,” katanya pada sidang media, hari ini.

Lawatan itu juga akan diselaraskan dengan acara melibatkan Sekretariat ASEAN yang turut berpangkalan di Jakarta.

Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, mesyuarat berkenaan akan membuka ruang bagi kedua-dua negara menyatakan pendirian serta mencari hala tuju bersama dalam pelbagai isu, termasuk perkara teknikal yang berlarutan sekian lama.

“Isu Ambalat, contohnya, sudah dibincangkan lebih dua dekad. Kita jangka perkara ini turut dibawa dalam mesyuarat nanti, tetapi ia bukan pengakhiran, sebaliknya satu permulaan untuk mencari penyelesaian bersama,” katanya.

Konsultasi Tahunan antara Malaysia dan Indonesia sebelum ini menjadi platform penting bagi pemimpin kedua-dua negara membincangkan pelbagai aspek kerjasama termasuk ekonomi, sempadan, buruh, pelaburan dan pendidikan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat