KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab pelaburan serantau apabila syarikat tenaga global, ACWA Power, memilih negara ini sebagai pusat operasi utama mereka di Asia Tenggara, dengan komitmen pelaburan mencecah USD10 bilion (RM46.9 bilion).
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pelaburan berskala besar itu membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar peralihan tenaga Malaysia yang progresif serta berpaksikan kemampanan.
“Pelaburan ini bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan menyumbang kepada pemindahan teknologi yang sangat diperlukan dalam sektor tenaga masa depan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Kerjasama strategik ACWA Power bersama TNB, UEM Lestra dan Terengganu Inc. akan memacu pelaksanaan pelbagai projek tenaga boleh baharu (RE), termasuk projek hidrogen hijau dan loji turbin gas kitaran gabungan (CCGT).
Menurut Zafrul, Inisiatif ini selaras dengan agenda nasional seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), sekali gus menyokong sasaran negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“MITI kekal komited memudah cara pelaburan berkualiti tinggi demi menjamin masa depan ekonomi yang lebih hijau, mampan dan makmur untuk rakyat Malaysia,” katanya.
BAca juga:








