Malaysia Jadi Negara Pertama ASEAN Perkenal Perlindungan Sosial Pekerja Gig

PETALING JAYA: Malaysia mencatat sejarah di rantau ASEAN apabila menjadi negara pertama memperkenalkan sistem perlindungan sosial menyeluruh secara berkanun kepada tenaga kerja gig.

Dalam kenyataan media pada Rabu, Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Ginie Lim, menyambut baik pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang mula berkuat kuasa pada 31 Mac 2026.

“Kini, pekerja gig lebih terlindung dan terjamin apabila syarikat platform berkongsi tanggungjawab mencarum bersama.

“Bagi sektor yang belum diwajibkan, Kerajaan MADANI menyediakan subsidi sebanyak 70 peratus bagi caruman kali pertama dan 50 peratus bagi pembaharuan tahun kedua, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026,” katanya.

Menurut Ginie, caruman tersebut meliputi perlindungan terhadap kecederaan atau kemalangan kerja, kematian atau hilang upaya kekal, elaun pemulihan serta penggantian pendapatan.

Langkah itu dijangka memperkukuh kerangka sosial untuk lebih 1.2 juta pekerja gig termasuk ramai wanita dan ibu tunggal, melalui Skim LINDUNG Kendiri serta akses kepada Tribunal Pekerja Gig sebagai mekanisme perlindungan undang-undang.

Beliau berkata, reformasi itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan kesejahteraan dan maruah insan, di samping memupuk pembangunan inklusif dan berdaya saing.

“Wanita PKR merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia di bawah pimpinan Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dan menegaskan komitmen untuk terus mendukung dasar-dasar Kerajaan MADANI bagi menjamin maruah dan kebajikan kaum pekerja,” katanya.

Anda Mungkin Berminat