Malaysia Jadi Tuan Rumah Persidangan E-Dagang ASEAN Pertama

PETALING JAYA: Malaysia bakal mencatat sejarah sebagai tuan rumah pertama Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 yang akan berlangsung pada 24 hingga 25 November ini di Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri KPDN, Datuk Fuziah Salleh berkata, persidangan yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu membawa tema ‘ASEAN E-Commerce Transformation: Bridging Gaps, Enhancing Competitiveness’ dengan matlamat menghimpunkan penggubal dasar, pengawal selia, pemain industri dan usahawan dari seluruh rantau ASEAN.

“Persidangan ini adalah platform penting bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang e-dagang serta membina ekosistem digital yang lebih inklusif,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, sebanyak 14 sesi akan berlangsung melibatkan 33 panel daripada sektor awam dan swasta termasuk tokoh industri dan penggubal dasar serantau.

“Antara yang dijadual tampil ialah Presiden International Marketplace Alibaba, James Dong serta Naib Presiden FOMCA, Dato’ Indrani Thuraisingham.

“Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen bersama memperkukuh kepercayaan digital, mendorong inovasi dan memastikan pertumbuhan ekonomi digital yang mampan di ASEAN,” katanya lagi.

Persidangan itu bukan sekadar menumpukan kepada aspek industri dan teknologi tetapi turut memberi perhatian kepada isu perlindungan pengguna, cabaran rentas sempadan, serta penjualan barangan tiruan dalam talian.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pendapatan sektor e-dagang negara mencecah RM1.23 trilion pada tahun 2024, manakala untuk separuh pertama 2025 sahaja telah mencapai RM625 bilion.

Di peringkat serantau, laporan e-Conomy SEA 2024 oleh Google, Temasek dan Bain & Company menjangkakan ekonomi digital ASEAN akan berkembang kepada USD1 trilion menjelang 2030.

“E-dagang adalah pemacu utama ekonomi digital ASEAN.

“Justeru, kita mahu pastikan PMKS turut diperkasa agar mereka dapat bersaing dan berkembang dalam pasaran serantau,” kata Fuziah.

Persidangan itu dijangka menarik lebih 350 peserta dari dalam dan luar negara.

Pendaftaran dibuka secara dalam talian melalui laman rasmi MICCI sehingga 15 Oktober ini.

Anda Mungkin Berminat