Malaysia Jadi Tuan Rumah Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa 2026 Esok

PETALING JAYA: Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan oleh komuniti antarabangsa apabila dipilih sebagai tuan rumah ‘The 3rd International Summit of Religious Leaders 2026’, sebuah persidangan berprestij yang bakal menghimpunkan pemimpin agama, ulama dan cendekiawan dari seluruh dunia bagi membincangkan usaha memperkukuh keharmonian, keamanan serta pembangunan belia di peringkat global.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan media pada Khamis berkata, penganjuran itu mencerminkan keyakinan dunia terhadap peranan Malaysia sebagai negara yang mengangkat nilai kesederhanaan, perpaduan dan dialog dalam memperkukuh keamanan sejagat.

“Persidangan ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan aspek keharmonian, keamanan dan persefahaman dalam masyarakat majmuk.

“Selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai platform dialog global yang diyakini,” katanya.

Persidangan yang dianjurkan dengan kerjasama Muslim World League (MWL) itu akan berlangsung pada Jumaat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan penyertaan kira-kira 1,500 peserta dari 31 negara.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Setiausaha Agung MWL, Datuk Seri Sheikh Dr Mohammad Abdul Kareem Al-Issa dijadual hadir bersama anggota Jemaah Menteri dan perwakilan antarabangsa.

Sebanyak 18 pembentang dan panelis antarabangsa akan berkongsi pandangan melalui empat tema utama termasuk memperkukuh keharmonian sosial dan budaya saling menghormati, memperkasa belia melalui pendidikan dan kepimpinan, menangani cabaran semasa generasi muda serta memperkukuh peranan pemimpin agama dalam pembangunan belia.

Dr Sirajuddin berkata, persidangan itu bukan sahaja menjadi wadah memperkukuh kehidupan bersama secara aman tetapi juga meningkatkan keharmonian sosial serta memperkasa golongan muda sebagai rakan strategik dalam membina komuniti yang berdaya tahan dan inklusif.

JAKIM turut menjemput pengamal media membuat liputan sepanjang persidangan, yang akan disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi agensi itu dan MWL.

Anda Mungkin Berminat