KUALA LUMPUR: Hari ini merupakan detik penting dalam perjalanan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dengan kepimpinan Perdana Menteri akan jadi tumpuan dalam membentuk keputusan-keputusan utama sidang terhadap keterangkuman, kemampanan dan kestabilan.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Tunku Nashrul Abaidah, tema “Keterangkuman dan Kemampanan” bukan sekadar slogan, ia mencerminkan aspirasi menjadikan ASEAN lebih rapat dengan rakyatnya dan bersedia menghadapi cabaran mendatang.
“Sidang hari ini akan menyaksikan pelbagai sesi penting melibatkan YAB Perdana Menteri bersama para pemimpin ASEAN dan wakil Sesi plenari dan retreat yang akan membuka ruang kepada perbincangan mendalam berkenaan cabaran serantau dan agenda masa depan ASEAN;
“Antaranya, sesi libat urus bersama Perwakilan Parlimen ASEAN (AIPA), wakil belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) bagi memperkukuh dimensi inklusif dalam proses pembuatan dasar serantau.

“Majlis menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045, di mana YAB Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan pembukaan dan Majlis Makan Malam Gala ASEAN, sebagai acara kemuncak hari pertama,” katanya dalam taklimat haria Pejabat Perdana Menteri (PMO) pagi ini.
Tunku Nashrul juga menyatakan sebagai platform utama bagi Pemimpin-Pemimpin ASEAN meneliti kemajuan ASEAN dalam tiga tunjang utama iaitu Politik-Keselamatan, Ekonomi, Sosiobudaya, ia juga menjadi medan utama untuk membincangkan isu-isu serantau dan global yang semakin kompleks, termasuk isu Laut China Selatan, Krisis Kemanusiaan di Gaza dan Myanmar, tarif perdagangan unilateral oleh kuasa besar, cabaran ekonomi digital dan rantaian bekalan.

“Fokus utama Malaysia adalah untuk memastikan ASEAN kekal relevan, responsif dan berpaksikan rakyat, selaras dengan wawasan jangka panjang ASEAN 2045 yang bakal dilancarkan.
“Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua yang akan dijalankan juga mengukuhkan komitmen jangka panjang kedua-dua rantau yang telah menjalinkan hubungan sejak 1990.
“ASEAN dan GCC merupakan dua entiti ekonomi penting, dengan jumlah dagangan mencecah USD130.7 bilion dan Pelaburan GCC ke ASEAN sebanyak USD390.2 juta
“Sidang ini bakal meneliti pelaksanaan Rangka Kerjasama ASEAN-GCC 2024-2028, termasuk inisiatif dalam perdagangan bebas, pendidikan, pembangunan mampan dan keterhubungan budaya serta digital,” katanya.
ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dengan jumlah KDNK USD3.8 trilion, manakala China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan dua hala berjumlah USD696.7 bilion.
Sidang ini dijangka merangka strategi baharu dalam perdagangan, pelaburan, pembangunan infrastruktur mampan dan digitalisasi rantau dengan beberapa mesyuarat dua hala juga dijadualkan berlangsung sepanjang hari bersama rakan-rakan strategik termasuk Kemboja, Singapura, China dan Kuwait.
Ujarnya lagi, Malaysia berpeluang memperkukuh kerjasama diplomatik dan ekonomi serantau, termasuk dengan rakan dialog seperti GCC dan China.
“Dengan skala ekonomi gabungan ASEAN, GCC dan China yang mencecah hampir USD25 trilion dan populasi lebih 2 bilion orang, Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memacu perdagangan rentas wilayah, memperkukuh rantaian bekalan serantau dan memajukan pembangunan infrastruktur yang mampan.
“Lebih daripada itu, penganjuran sidang berskala besar ini turut menyumbang manfaat langsung kepada ekonomi domestik – khususnya dalam sektor pelancongan, perhotelan serta peluang perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan,” katanya.
Taklimat susulan akan disampaikan pada sebelah petang untuk melaporkan hasil-hasil awal persidangan serta intipati pertemuan dua hala yang berlangsung.
Baca juga: