PETALING JAYA: Malaysia menjamin siasatan rapi dan telus berhubung kes pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang didakwa menggunakan kekerasan dalam kejadian tembakan di perairan Tanjung Rhu, dekat Banting, Selangor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan siasatan awal akan disampaikan kepada kedutaan Indonesia, manakala siasatan lengkap akan diteliti oleh pihak berkuasa negara jiran itu.
“Kita tidak mahu perkara ini mengganggu hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia, tetapi negara ini mesti mengikut hukum.
“Terlalu ramai orang yang datang tanpa izin. Terlalu ramai juga yang datang melalui penyeludupan dadah dan barang haram menyebabkan kita terpaksa bertegas untuk hal-hal sedemikian.
“Tetapi, saya juga beri jaminan Malaysia tidak boleh melanggar hukum dan tidak boleh melakukan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.
“Saya juga tidak mahu melindungi mana-mana pihak yang tidak mengikut peraturan dan hukum undang-undang,” katanya.
Pada 24 Januari lalu, APMM yang sedang meronda melepaskan tembakan ke arah sebuah bot yang didakwa cuba menyerang anggotanya di perairan Tanjung Rhu, kira-kira pukul 3 pagi waktu tempatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menjelaskan bahawa tembakan dilepaskan untuk mempertahankan diri setelah bot APMM dilanggar empat kali oleh sebuah lagi bot dan dua suspek dipercayai cuba menyerang anggota APMM dengan parang.
Bot itu kemudiannya ditemukan kira-kira 0.4 batu nautika barat daya Pulau Carey pada Jumaat lepas apabila seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dan seorang lagi cedera parah disyaki warga Indonesia, kemudiannya dibawa ke sebuah hospital di Klang.
Seorang pegawai perubatan juga melaporkan bahawa tiga lelaki dengan kecederaan tembakan telah dimasukkan ke sebuah hospital di Serdang pada hari sama.
Dalam pada itu, Anwar berharap kedua-dua pihak dari Malaysia dan Indonesia tidak membuat tindakan melulu kerana dikhuatiri akan menjejaskan hubungan baik.
“Saya tahu ini hanya kumpulan kecil tetapi saya harap jangan ada tindak balas di Malaysia.
“Biar kita ikut hukum dan kita faham adakalanya kemarahan berlaku disebabkan laporan tidak bertanggungjawab yang menghangatkan suasana dengan menghukum sebelum selesai siasatan.
“Jadi, sebaiknya kita tunggu dan kita beri jaminan harus ada siasatan yang telus dan kedua-dua pihak harus ambil maklum tentang hasil siasatan itu,” katanya lagi.
Pada Khamis, kira-kira 100 orang dari pelbagai kumpulan hak asasi manusia dan kesatuan pekerja bertindak agresif melemparkan telur di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia.
Penunjuk perasaan melemparkan telur sehingga menutup simbol Jata Negara di pintu masuk kedutaan dan mengotori pekarangan dengan kulit dan lendir telur tersebut.
Mereka turut membawa sepanduk bertulis, ‘Tangkap dan penjarakan polis Malaysia yang menembak mati pekerja asing Indonesia’.