Malaysia–Kanada Perkukuh Hubungan Ekonomi, Tenaga Hijau Di Sidang Kemuncak ASEAN

PETALING JAYA: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur membuka lembaran baharu hubungan dua hala apabila Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, memilih Malaysia sebagai destinasi pertama dalam lawatan rasmi beliau ke Asia.

Kehadiran Carney bukan sahaja memperkukuh komitmen Kanada terhadap rantau ASEAN, malah menandakan kesungguhan negara itu untuk memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi, pelaburan dan pembangunan mampan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertemuan dua hala antara Malaysia dan Kanada sebagai titik tolak penting ke arah hubungan ekonomi yang lebih erat dan strategik.

“Kejayaan usaha sama LNG oleh PETRONAS di Kanada menjadi bukti nyata keyakinan terhadap potensi, kekuatan dan saling kebergantungan ekonomi antara Malaysia dan Kanada,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Anwar turut memaklumkan bahawa kedua-dua negara telah membincangkan peluang kerjasama dalam bidang tenaga hijau, inovasi dan pendidikan selaras dengan aspirasi bersama untuk membina pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Lawatan rasmi Carney ke Malaysia dilihat sebagai simbol keakraban hubungan dua hala yang telah lama terjalin khususnya dalam sektor perdagangan, tenaga dan pendidikan tinggi.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang menghimpunkan pemimpin serantau dan rakan dialog antarabangsa menjadi pentas penting untuk membincangkan agenda kerjasama ekonomi, keamanan dan pembangunan mampan di Asia Tenggara dengan penyertaan aktif Kanada memperkukuh lagi semangat keterangkuman dan solidariti global.

Anda Mungkin Berminat