Malaysia Kecam Agenda ‘Greater Israel’, Penempatan Haram Di Wilayah Palestin

PETALING JAYA: Malaysia menyuarakan kecaman tegas terhadap kenyataan terbaharu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang mempromosikan visi peluasan wilayah haram dikenali sebagai ‘Greater Israel’.

Dalam satu kenyataan rasmi oleh Wisma Putra, kerajaan Malaysia turut menolak kelulusan pembinaan ribuan unit penempatan haram di kawasan E1 yang terletak antara Baitulmaqdis dan Ma’ale Adumim yang merupakan sebahagian daripada Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

“Projek E1 bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB.

“Ia bertujuan memecahbelahkan Tebing Barat, menafikan kedaulatan Palestin dan menghancurkan penyelesaian dua negara,” tegas kenyataan itu.

Malaysia menyifatkan tindakan Israel sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap Konvensyen Geneva Keempat yang melarang penempatan haram di wilayah yang diduduki secara paksa.

Kenyataan itu turut menyelar tindakan Israel yang dilihat sebagai usaha sistematik untuk mengukuhkan pendudukan haram dan menafikan hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka.

Malaysia juga mengecam pembunuhan wartawan dan petugas media di Gaza, yang disifatkan sebagai pencabulan serius terhadap Resolusi 2222 Majlis Keselamatan PBB.

“Serangan ini jelas bertujuan membungkam laporan bebas serta menyembunyikan jenayah perang rejim Zionis,” kata Wisma Putra.

Malaysia menegaskan pendirian konsisten dalam menyokong penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Sejak sekian lama, Malaysia telah menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin di pelbagai forum antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Anda Mungkin Berminat