Malaysia Kecam Serangan Terhadap Pasukan UNIFIL Di Lubnan

PUTRAJAYA: Wisma Putra menzahirkan pendirian tegas Malaysia dengan mengecam sekeras-kerasnya serangan berterusan terhadap pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Kenyataan rasmi itu turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan Kerajaan Perancis atas kehilangan seorang anggota pengaman serta kecederaan tiga lagi dalam insiden di Ghanduriyah pada 18 April 2026.

“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan berterusan terhadap anggota pengaman UNIFIL.

“Serangan-serangan ini merupakan jenayah perang dan Malaysia menuntut keadilan bagi anggota-anggota pengaman yang terkorban dan tercedera,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan tersebut, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa serta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu agar mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan anggota pengaman UNIFIL.

Negara ini juga menggesa semua pihak untuk menghormati gencatan senjata, meredakan ketegangan dan memberikan kerjasama penuh kepada UNIFIL dalam melaksanakan mandat di bawah Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701(2006).

Wisma Putra turut mengesahkan bahawa anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang kini berkhidmat di bawah panji UNIFIL berada dalam keadaan selamat.

Anda Mungkin Berminat