Malaysia Kedudukan Kedua Terbaik Asia Tenggara Dalam Keterjaminan Makanan — Menteri

PARLIMEN | Malaysia terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam keterjaminan makanan apabila menduduki tempat kedua terbaik di Asia Tenggara berdasarkan Global Food Security Index (GFSI) 2022, dengan skor 69.9.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti bahawa dasar dan strategi kerajaan berada pada landasan yang tepat dalam memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi dan stabil meskipun berdepan cabaran global.

“Skor 69.9 ini adalah bukti bahawa usaha kita dalam memperkukuh sektor pertanian dan ternakan tempatan membuahkan hasil,” katanya ketika menjawab soalan Aminolhuda Hassan (Sri Gading) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau turut berkata, beberapa langkah utama yang sedang digerakkan oleh kementerian, termasuk program Gelombang Padi dan SMART SBB, pemelbagaian sumber import serta penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti sektor makanan negara.

“Stok beras negara kini berjumlah 1.19 juta tan metrik, mencukupi untuk hampir enam bulan, manakala pengeluaran ayam stabil sekitar 70 juta ekor sebulan,” tambahnya.

Dalam usaha memperkukuh kemandirian makanan, kerajaan juga memperuntukkan RM223.9 juta bagi pembangunan jelapang padi di Sarawak dan RM43.4 juta untuk memulih serta menaik taraf kawasan sawah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kita telah memperuntukkan RM223.9 juta untuk jelapang padi di Sarawak dan RM43.4 juta untuk memulih serta menaik taraf kawasan sawah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan,” ujarnya.

Mohamad Sabu berkata, sokongan berterusan daripada semua pihak amat penting dalam menjayakan agenda keterjaminan makanan negara.

Beliau yakin, dengan usaha berterusan dan sokongan semua pihak, Malaysia mampu meningkatkan kemandirian makanan serta mengurangkan kebergantungan kepada import.

Anda Mungkin Berminat