PETALING JAYA: Negara sekali lagi berasa sedih apabila pemergian figura seni tanah air, Sheqal atau nama sebenarnya Shaharim Salahuddin, disampaikan, hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menyampaikan ucapan takziah menerusi satu hantaran di Facebook, beliau mengenang jasa dan sumbangan allahyarham kepada dunia seni tanah air.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada balu, anak-anak serta seluruh ahli keluarga allahyarham.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.
Fahmi turut mengimbau memori manis zaman kegemilangan allahyarham yang pernah menghiasi skrin televisyen dan corong radio dengan suara lunak dan lagu-lagu penuh penghayatan yang menjadikan beliau antara penyanyi balada nusantara yang disegani.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban pada pukul 12.31 tengah hari ketika berusia 60 tahun.
Isterinya, Normah Mohd Yusoff, memaklumkan bahawa Sheqal dimasukkan ke hospital pada 4 Jun dan ditidurkan pada 6 Jun.
Sejak 2020, beliau diserang angin ahmar sebanyak empat kali dan menggunakan kerusi roda.
Sheqal meninggalkan seorang balu dan empat anak dengan dua hasil perkahwinannya dengan Normah, iaitu Muhammad Fatullah dan Ummu Hani serta dua lagi, Putera Ammar dan Putera Al Kasyah daripada perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi dan pelakon Raja Ema.
Sepanjang kerjaya, allahyarham menghasilkan empat album, iaitu Balada Nusantara (1990), Pudar Yang Tersirat Pasrah (1991), Cahaya (1994) dan Lambaian (1998).
Antara lagu popular yang mencorakkan dunia muzik tempatan termasuk Cinta Nusantara, Kasih Tak Terhurai, Zapin Rindu Rinduan, Pasrah dan Ratib Anak Lautan.
Pemergian beliau satu kehilangan besar kepada dunia seni.
Namun, legasi yang ditinggalkan akan terus mewarnai jiwa dan kenangan peminat.