Malaysia Kekal Bebas Penyakit Anthrax

PETALING JAYA: Malaysia kekal bebas daripada penyakit anthrax meskipun negara jiran, Thailand, melaporkan satu kes kematian akibat jangkitan bakteria berbahaya itu pada 1 Mei lalu.

Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), kes kematian di Thailand dipercayai berpunca daripada aktiviti penyembelihan lembu dan pengambilan daging mentah di Daerah Don Tan, Wilayah Mukdahan.

“Malaysia bebas daripada penyakit anthrax sejak kes terakhir dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada tahun 1976.

“Sehingga kini, tiada laporan baharu diterima di negara ini,” kata DVS pada Ahad.

Bagaimanapun, DVS memaklumkan bahawa pihaknya terus berwaspada memandangkan penyakit tersebut masih aktif di beberapa negara termasuk Thailand.

Menurut DVS, anthrax disebabkan oleh bakteria Bacillus anthracis yang boleh menjangkiti haiwan dan manusia, malah membawa maut.

“Jangkitan boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan spora bakteria, terutama pada haiwan ternakan.

“Antara tanda klinikal pada haiwan termasuk kematian mengejut, demam tinggi, lemah, sukar bernafas, bengkak di kawasan jangkitan terutamanya di leher, muntah dan cirit-birit. Dalam beberapa kes, darah boleh keluar dari hidung, mulut atau dubur haiwan,” jelas kenyataan itu.

Susulan kejadian di Thailand, DVS memohon jaminan daripada pihak berkuasa negara itu bahawa tiada haiwan atau produk haiwan dari kawasan berisiko tinggi dieksport ke Malaysia.

“Kami juga meminta laporan status semasa, langkah kawalan pergerakan haiwan dan pelan kontingensi penyakit anthrax daripada pihak berkuasa Thailand.

“Langkah ini penting kerana Malaysia mengimport ternakan lembu dan kerbau dari negara berkenaan,” tambahnya.

DVS turut menggesa penternak dan pengimport agar sentiasa mematuhi prosedur biosekuriti dan segera melaporkan sebarang tanda luar biasa dalam kalangan haiwan ternakan.

Anda Mungkin Berminat