PETALING JAYA: Malaysia terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam menangani jangkitan influenza dan mengekalkan status bebas selesema burung.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa tidak terdapat peningkatan kes Influenza di negara ini dan tiada kes selesema burung direkodkan dalam kalangan masyarakat.
Menurut laporan mingguan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Rantau Pasifik Barat pada 31 Januari 2025, tiada kes selesema burung baharu direkodkan termasuk di Jepun.
Menurutnya, kes terakhir yang direkodkan di rantau ini adalah pada 1 Januari 2025.
“Pemantauan KKM menunjukkan bahawa kadar konsultasi influenza-like illness (ILI) di Klinik Kesihatan pada Minggu Epidemiologi (ME) 4.2025 adalah 4.67 peratus, menurun sebanyak 0.14 peratus berbanding 5.81 peratus pada ME 3.2025.
“Kadar kemasukan kes jangkitan pernafasan akut yang teruk (SARI) di hospital juga menurun kepada 7.26 peratus berbanding 7.52 peratus pada ME 3.2025,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, KKM bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa menjalankan pemantauan aktif dan sruvelan terhadap ladang ternakan, populasi burung liar serta pasar basah bagi mencegah sebarang risiko jangkitan.
Katanya, langkah biosekuriti dan pencegahan yang ketat turut diambil bagi memastikan Malaysia kekal bebas daripada selesema burung.
“KKM menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah proaktif dalam menjaga kesihatan diri dan mendapatkan pemeriksaan serta rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema yang berpanjangan,” katanya.








