BANGI: Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat tanpa tunduk kepada mana-mana kuasa asing dalam menentukan dasar luar dan hubungan dagang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menolak dakwaan kononnya negara ini tunduk kepada Amerika Syarikat (AS) susulan Perjanjian Perdagangan Tindak Balas (ART), dengan menyatakan bahawa tiada peruntukan dalam perjanjian tersebut yang menghalang Malaysia daripada bertindak mengikut kepentingan keselamatan negara.
“Kita terikat dengan undang-undang dan peraturan negara kita.
“Kita ada hak untuk menilai semula, memberi notis untuk membatalkan (perjanjian). (Kita) diserang bertubi-tubi.
“Kalau benar kita tunduk pada Amerika, mengapa kita tandatangan (perjanjian) dengan China?,” soalnya.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Pengajian Islam Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 di Bangi, hari ini yang turut disiarkan secara langsung.
Beliau berkata, pendirian Malaysia yang tidak terikat dengan tekanan kuasa besar termasuk dalam hal kehadiran ke Sidang Kemuncak G20 di Afrika Selatan minggu hadapan, meskipun Amerika memilih untuk memboikot sidang tersebut.
“Saya hadir kerana jemputan Presiden Afrika Selatan (Matamela Cyril Ramaphosa).
“Saya tidak tunduk pada dasar luar Amerika. Kita ada dasar kita sendiri.
“Malaysia ini negara bebas, bermaruah dan merdeka,” tegas Perdana Menteri.








